Monday, October 11, 2010

Pengetua dari negara Korea Selatan lawat sekolah di Malaysia


SEBAHAGIAN daripada ahli rombongan pengetua sekolah dari Korea Selatan bersama Zuariah Yusoff (lima dari kanan) dan pelajar-pelajar SMK SS17 di Subang Jaya, baru-baru ini.


Seramai 29 pengetua dan timbalan pengetua dari sekolah-sekolah di Korea Selatan mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan SS17, Subang Jaya (SMK SS17) baru-baru ini dalam usaha merapatkan hubungan antara kedua-dua buah negara di samping bertukar-tukar pandangan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan masing-masing. Rombongan berkenaan ditaja Kementerian Pelajaran Korea yang bertujuan melihat sendiri sistem pendidikan di negara ini.
Ketua rombongan, Park Jin Soo berkata, lawatan yang diiringi dua pegawai Kementerian Pelajaran Korea Selatan itu turut berkunjung ke sekolah-sekolah lain yang terpilih.
"Semua pengetua dan timbalan masing-masing berpeluang meninjau sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang dipilih sambil bertukar-tukar fikiran dan maklumat dengan guru serta pengetua sekolah yang dikunjungi,'' katanya ketika ditemui.
Kunjungan mereka ke SMK SS17, Subang Jaya itu dikendalikan sendiri pelajar-pelajar prauniversiti sekolah itu.
Rombongan berkenaan disajikan dengan tayangan video tentang SMK SS17, persembahan tarian pelbagai kaum, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.
Mereka juga diberi kesempatan melawat kawasan persekitaran sekolah termasuk Pendidikan Kelas Khas.
Jin Soo berkata, kunjungan itu dapat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan di samping mempelajari budaya dan adat resam penduduk di negara ini.
Ketua Penyelia Kementerian Pelajaran, Daerah Gyeonggi Korea Selatan, Yong Ki Kim berkata, peserta rombongan itu amat gembira dapat melihat perpaduan yang dipamerkan pelajar SMK SS17 yang memakai pakaian tradisional pelbagai kaum.
Beliau berkata, pelajar di sekolah itu kelihatan sangat mesra, berbudi bahasa, berdikari dan bijak menguruskan sendiri kedatangan rombongannya.
"Saya amat tertarik melihat pelajar India memakai ceongsam, pakaian tradisional kaum Cina, manakala pelajar Cina memakai baju kurung atau kebaya", katanya.
Beliau berkata, rombongannya kagum dengan pelajar di sekolah ini yang boleh menguasai lebih daripada dua bahasa walaupun negara ini memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
"Hanya kebelakangan ini Korea Selatan mula giat mempelajari bahasa Inggeris," katanya dalam bahasa Korea yang diterjemahkan oleh juru bahasa rombongan itu.
Sementara itu, Pengetua SMK SS17, Zuariah Yusoff berkata, beliau amat gembira menerima kunjungan itu kerana dapat menjalin hubungan dengan golongan pendidik Korea Selatan dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar fikiran.

Credit:
Portal Pendidikan Utusan - Berita

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails